"Aku ingin mencadangkan sesuatu." Makhluk itu merapatiku tak ubah seperti kalau kawanku Alice mahu memberitahu aku rahsia, meskipun rahsianya itu sebenarnya tidak perlu dirahsiakan. Ataupun, sebenarnya bukanlah sebenarnya rahsia. "Kalau kau merahsiakan kewujudan aku, mata engkau akan aku betulkan."
"Pergilah dari sini!"
Makhluk itu mengelipkan matanya beberapa kali. "Itu yang cuba aku lakukan."
"Maksud aku, engkau tak boleh buat macam itu!"
"Kenapa pula?"
"Selama ini tiada siapa pun yang berjaya menyembuhkan mata aku, kecualilah dengan memakai kaca mata."
"Aku ada kepandaian tertentu. Nanti engkau akan tahu, asalkan..."
"...Aku tak dedahkan tentang engkau?"
"Tepat sekali, begitulah harapan aku."
"Macam mana aku nak tahu engkau tak akan membuatkan aku buta? Entah-entah engkau ini tak ubah macam orang pemasaran dalam telefon yang hanya menaburkan janji-janji palsu."
Makhluk itu mula bergerak seperti sedang menggilap-gilap permukaan lagi, tak ubah macam filem tentang anak didik dengan guru karatenya yang popular suatu ketika dulu, "gilap ke dalam, gilap ke luar". "Takkan aku mahu mencederakan makhluk lain yang tiada niat mencederakan aku."
"Maknanya kalau aku mencederakan engkau, maka engkau akan membutakan aku?"
"Yang sekadarnya perlu engkau tahu sahaja."
"Kalau engkau berjaya menyembuhkan mata aku, dan aku merahsiakan tentang kewujudan engkau, engkau akan pergi dari ladang aku?"
"Begitulah kira-kiranya!"